EMPANGAN MUDA

Pengenalan

Empangan Muda ( Muda Dam ) tidak asing lagi penduduk yang berada di sekitar Baling, Sik dan Padang Terap. Ini adalah kerana empangan yang berkordinat N607.267 E 100 51.600 adalah merupakan empangan yang bersempadankan ketiga-tiga daerah ini dan antara empangan yang terpenting di negeri Kedah.

Empangan yang 110 m dari aras laut ini bukan saja penting kepada sumber pengairan padi kepada petani-petani di Kedah dan Pulau Pinang, malah juga penting kepada penggunaan air seharian kepada penduduk kedua-dua buah negeri dan sektor perkilangan.

Memulakan perjalanan ke bahagian hulu empangan yang sungguh indah.

Keluasan empangan ini adalah 105,060 ha.persegi, meliputi kawasan berair dan hutan rimba, merupakan satu sumber kawasan tadahan hujan utama di negeri Kedah. Manakala sungai-sungai yang membekalkan air kepada empangan ini seperti Sg. Teliang, Sg. Muda, Sg. Lasor, Sg.Baho, Sg. Pior dan Sg. Weng. Bagi Sg. Lasor dan Sg. Baho, sumber airnya berasal dari negara Thailand.

Bentuk Empangan Muda dan dua sungai utamanya.

Bagi penduduk sekitar, empangan ini lebih dikenali sebagai Empangan Gubir sempena nama satu kawasan paling hampir dengan empangan ini iaitu Padang Gubir, kawasan yang sekarang ini dijadikan sebuah kem tentera yang berada berhampiran empangannya iaitu Kem Gubir. Bagi mereka, empangan yang menjadi sumber rezeki kepada lebih 40 orang nelayan ini, boleh diibaratkan sebagai sebuah daerah kerana terdapat berpuluh-puluh kawasan utama di sini antaranya Charok Kepas, Charok Sira, Charok Tero, Che siong,Nipis Kulit, Kaji Cuaca, Guling Balak, Bendang Kalai, Debu, Nyeh, Jeram Keris dan banyak lagi.

Nelayan yang sedang menjala ikan.

Antara yang menarik perhatian bagi Empangan Muda ialah ianya dihubungkan dengan Empangan Pedu melalui sebuah terowong seluas lebih kurang 60 kaki. Terowong ini dikorek sejauh 13 km melalui bukit sepanjang jalanraya dari Kem Inlet di Empangan Muda ke Kem Outlet di Empangan Pedu. Tujuan utama terowong ini adalah untuk menyalurkan air dari Empangan Muda ke Empangan Pedu terutamanya ketika membekalkan perairan kepada petani padi di bawah kelolaan MADA. Melalui terowong ini juga dapat memudahkan pergerakan ikan-ikan antara kedua-dua

empangan dan menjamin paras air diantara kedua-dua empangan sama ada pada waktu hujan atau pada waktu kemarau.

Lokasi permukaan terowong di Kem Inlet yang menghubungkan kedua-dua empangan yang ditanda dengan pelampung besi.

Terdapat juga tiga kawasan penempatan orang-orang dahulu yang boleh dilihat jika kita datang ke empangan ini, iaitu Charok Che Siong, Berhala dan Bendang Kalai. Walaupun sudah tenggelam dan berlaku hakisan, tetapi kesan-kesan peninggalan bagi setiap kawasan masih boleh dilihat.

Deretan pokok getah yang sudah berusia hampir 60 tahun masih dapat dilihat di Charok Che Siong yang merupakan kawasan penempatan suatu ketika dahulu.

Flora dan Fauna.

Bagi para nelayan, Empangan Muda merupakan lubuk ikan kerana di sini terdapat berbagai spesis ikan antaranya ikan kelah, tengas, haruan, keli, seluang, tilapia, sebarau, lampam merah, lampam jawa, baung, teruboi, patung, susur batang, bujuk dan yang paling istimewa dan mahal ialah kelisa putih ( silver ).

http://www.ikankelah.com/images/kelahbesar/ikan-kelah-merah-bara-1.jpg

Ikan kelah merah antara spesis ikan yang terdapat di Empangan Muda.

Aktiviti-aktiviti nelayan yang sering dilakukan di empangan ini adalah seperti memancing, menjala, merawai dan memukat. Kegiatan penangkapan ikan yang dilakukan disini adalah merupakan aktiviti turun-temurun dari jenerasi dahulu lagi. Kebiasaannya, para nelayan akan keluar memasang peralatan penangkapan pada waktu petang dan mereka akan mengangkat peralatan yang digunakan pada waktu pagi setiap hari. Semua hasil tangkapan ikan akan dijual kepada peraih yang sedia ada menunggu di pengkalan perahu.

Suasana pengkalan perahu di Empangan Muda

Empangan ini juga turut diserikan dengan hidupan di udara seperti burung helang, enggang, dok-dok, perga, kuang, mati sekawan, punai, tiaq, murai batu, murai cacing, merbah, can jambul, barau-barau, raja udang, belibis, ayam hutan dan perkok.

Manakala bagi mereka yang suka memburu pula, nama kawasan seperti Jeram Gajah, Sira Jawa, Sira Bongor, Sira Keladi, Labua, Sira Air Hangat, Kuala Surat, Sira Batu, Air Baho, Lasoo dan banyak lagi, merupakan kawasan yang banyak dengan rusa,

kijang, pelanduk dan sebagainya. Manakala haiwan-haiwan lain yang juga terdapat di sekitar empangan ini adalah seperti gajah, harimau, beruang, badak tuli, napuh, seladang dan haiwan-haiwan eksotik yang lain.

Biawak yang hidup dalam sungai ini

Apa yang lebih menarik, sepanjang tempoh kami berada di empangan ini iaitu sehari semalam, kami terserempak dengan sekumpulan pemburu yang kebetulan sedang siap sedia untuk berburu di kawasan hutan sekitar. Kami sempat menemubual dan mengambil gambar peralatan-peralatan yang digunakan untuk berburu iaitu senapang patah, lampu picit, peluru , pisau dan beg untuk membawa bekalan makanan dan minuman.

Peralatan pemburuan.

Empangan Muda ini juga kaya dengan hasil-hasil faunanya yang unik, bernilai tinggi dan sesuai untuk pengamal-perubatan. Pokok-pokok seperti meranti, cengal, merbau, keruing,nyatoh, jelutung, petai, nering, jakir, kola manok, depu, jeha, legong dan pelbagai spesis tumbuhan lain telah menghiasi lanskap hutan rimba yang berusia jutaan tahun ini. Pokok-pokok ini bukan saja menjadikan kawasan sekitar seperti taman, tetapi yang lebih penting lagi sebagai sumber simpanan air utama, penyejuk

suasana empangan dan menjadi habitat utama dan sumber makanan kepada semua jenis haiwan air dan darat.

Sarang burung helang pada pokok mati di tengah-tengah air.

Empangan yang menjadi pencinta alam sekitar ini juga tidak kurang dengan hidupan flora tepi air. Pokok-pokok seperti putat, gucir, buluh, adalah pokok-pokok yang berada di bahagian atas tebing dalam keadaan berair pada musim hujan dan kering pada musim kemarau.

Pokok putat pada waktu hujan.

Empangan ini akan menerima musim hujan biasanya pada April hingga Mei dan dari September hingga November setiap tahun. Pada musim ini semua tumbuhan yang berada di bahagian tebing akan dinaiki air. Walaupun begitu, kesemua pokok-pokok ini dapat hidup dan membesar seperti biasa.

Suasana empangan semasa hujan dan kemarau.

Manakala pada bulan Januari hingga Febuari dan Jun hingga Julai pada setiap tahun, kawasan ini akan mengalami musim kemarau. Pada waktu ini , kesemua pokok-pokok yang berada di bahagian tebing akan berjauhan dari air dan terus hidup seperti biasa.

Selain dari tumbuhan yang di nyatakan di atas, terdapat juga tumbuhan-tumbuhan lain yang terdapat di empangan ini. Antaranya juluk, lumut, sarai adalah merupakan tumbuhan yang berada di dalam air sepanjang tahun. Kesemua tumbuhan-tumbuhan yang dinyatakan di atas adalah merupakan pelengkap kepada ekosistem di empangan ini.

Ancaman

Walaupun begitu, keindahan, keunikan dan keistimewaan yang disajikan di empangan ini semakin hari semakin terhakis dan tercalar. Keadaan ini berlaku berpunca dari segelintir ‘ pelancung ‘ yang datang ke sini tidak dapat menilai dan menghargai keistimewaan yang sedia disajikan oleh Allah untuk hambaNya. Keadaan yang semakin kritikal ini berpunca dari orang-orang tertentu yang datang untuk turut menikmati keindahan yang ada, tetapi dalam masa yang sama telah menodai kesucian yang sedia ada di empangan ini.

Tindakan tidak bermoral ini berlaku apabila mereka ghairah untuk mendapat hasil yang berlipat ganda. Mereka sanggup menggunakan ledakan untuk mendapat ikan-ikan terutamanaya di lubuk-lubuk utama yang memang merupakan ‘port’ bagi semua jenis ikan terutamanya ikan yang sememangnya hampir pupus di seluruh dunia seperti ikan kelah merah dan tengas. Mereka menggunakan ‘bom’ buatan sendiri yang dibuat

menggunakan sodium bikarbonat yang boleh menghasilkan letusan dan gegaran yang kuat kepada semua penghuni sesuatu lubuk dan kawasan sekitar. Letusan yang kuat ini akan menyebabkan kematian kepada semua penghuni sama ada spesis yang besar atau yang kecil. Keadaan sedemikian jika sering berlaku akan menyebabkan kepupusan yang drastik kepada semua jenis ikan.

http://t1.gstatic.com/images?q=tbn:IZAx5yc-5IbSzM:http://www.mediaindonesia.com/spaw/uploads/images/article/image/20100115_121110_ANT-200912-000229.jpg

Peralatan ledakan yang digunakan untuk ‘ mengebom ‘ ikan.

Selain dari menggunakan bahan letupan, ada juga di kalangan pelancong yang menggunakan peralatan kuasa elektrik untuk menangkap ikan. Mereka menggunakan bateri kereta dan dihubungkan kepada dua batang besi. Apabila kedua-dua besi dimasukkan ke dalam air, mereka akan mengalirkan arus elektrik dan kesannya semua ikan besar dan kecil akan mati. Kedaan ini jika berterusan akan menyebabkan kepupusan spesis ikan di empangan ini.

Tindakan ini terbukti apabila ramai pelancong yang hadir dan para nelayan mengeluh dengan hasil tangkapan yang merosot teruk dan ada nelayan yang terpaksa mencari alternatif lain untuk mencari rezeki.


Ada dikalangan pelancong yang tiada peralatan menangkap ikan tetapi pulang dengan hasil ikan yang banyak.

Melalui satu temuramah ringkas dengan seorang nelayan bernama Encik Osman Kamaruddin yang tinggal di No. 50 Kampung Keda, Kota Our, beliau menjelaskan bahawa, empangan ini memberi dua sumber rezeki kepadanya iaitu penangkapan ikan dan sewa perahu kepada pelancong yang hadir.

Malangnya hasil tangkapan yang dahulunya sekitar RM 70.00 sehari menurun kepada RM 20.00 dan kadang-kadang ‘balik tangan kosong’ sahaja. Hal yang demikian juga berlaku kepada perolehan sewa perahu dari purata RM 400.00 sebulan kepada RM 100.00 sebulan.

Kelihatan perahu-perahu nelayan yang tersadai.

Ancaman kepada haiwan-haiwan liar juga berada ditahap kritikal. Ekoran dari temubual ringkas dengan sekumpulan pemburu, bagi mereka kekurangan binatang buruan bukan berpunca dari aktiviti buruan yang dijalankan, tetapi apa yang lebih penting ialah kadar kemasukan pelancong yang begitu ramai menyebabkan haiwan tidak selesa dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti memainkan alat muzik dan

kaset menggunakan bateri kering, radio, mandi menggunakan sabun dan berbagai lagi yang tidak sesuai dengan haiwan.

http://t3.gstatic.com/images?q=tbn:2f3nmkEmS7Q19M:https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj8Jrn7dRH6BjrqUwuHvQbZhPotUN5USA-JXY5so7xx2CvxPoprYLhyphYvJElH-92jwiTwSdEVjuqDfa7Y0O-avZGgmdXYPjKNKoQHPlDGt6wW4Jt_Yh4qwqit44TT7WG2lONs1TjPtsY/s320/IMG_1354.JPG

Sira Air Hangat menjadi tumpuan haiwan liar waktu malam dan sekumpulan pemburu yang baru dapat seekor rusa betina.

Bagi mereka lagi, tindakan kerajaan membangunkan kawasan ini seperti membina resort di Labua, menara untuk melihat haiwan di Sira Air Hangat di samping khemah-khemah yang didirikan oleh pelancong yang hadir menyebabkan sesuatu yang baru dan asing bagi semua haiwan. Penerangan yang diberikan menyebabkan kami terfikir dan kadang-kadang ada kebenarannya. Deruan enjin bot dan mesin-mesin jentolak amat ketara sepanjang masa boleh didengari jika kita berada di empangan ini berbanding dengan 10 tahun sudah.

http://t1.gstatic.com/images?q=tbn:U9nVy5GA2sTMVM:http://www.landroversonly.com/forums/attachments/f17/13472d1177469944-weekend-jungle-trip-adik-making-steady-cross.jpghttp://t0.gstatic.com/images?q=tbn:9HIAzn1rSXHBpM:http://www.junglecross.com/images/fireworks_export_r4_c2.jpg

Deruan enjin dan kebanjiran pelancong yang mengganggu hidupan liar.

Sejak akhir-akhir ini, kegiatan mencuri balak secara kecil-kecilan agak membimbangkan. Kebiasaannya, kegiatan ini dilakukan oleh penduduk sekitar empangan ini terutamanya dari Kg. Kota Aur, Kg. Belantik, Kg. Lubuk Batu, Kg. Pinang, Kg. Gulau, Kg.Melaka, Kg. Landai dan Kg. Tok Jering.

Kebanyakan pencuri-pencuri balak ini memotong kayu menggunakan mesin gergaji dan menjual kayu-kayu tersebut kepada penduduk sekitar untuk mendirikan rumah.

http://t2.gstatic.com/images?q=tbn:FOaCFWw8GBTj2M:http://4.bp.blogspot.com/_5hd7oe3kKow/TD-3sjjmTTI/AAAAAAAAEN8/qEnSXhq3dls/s1600/balak.jpghttp://t3.gstatic.com/images?q=tbn:OeGDoKwpjeWajM:http://www.tvselangor.com/pic/thumb/20091126115809_pembalakan_haram.jpg

Pokok balak yang dipotong oleh penduduk sekitar.

http://t1.gstatic.com/images?q=tbn:KXO97RkUZP3odM:https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjVYutOyKEfk4Aupx3wi9U2-mgzQPmzg5u81qgQeHPhsqW5ObkdYZn-O_UG5NG82wDUvnio9gC5scZGLqMpPfBxe9tlrcOLxFx5nsiNL2ilxcZJTEXG1cvQ_U_8oXk4Q2v6ybkRuQhg1Uw/s320/kayu+gaharu.jpg

Kegiatan mencari kayu gaharu oleh penduduk tempatan dan warga Thailand secara haram yang berleluasa dewasa ini turut mengancam kepupusan pokok gaharu.

Sikap para pelancung yang tidak prihatin dan tidak mempunyai kesedaran kepentingan alam sekitar yang datang juga turut menyebabkan kemusnahan hidupan faunanya. Aktiviti membuat unggun api dan memanggang ikan dan tidak memadam sebelum pulang menyebabkan boleh berlaku kebakaran yang besar kepada kawasan

sekitar.

http://t2.gstatic.com/images?q=tbn:dQr62qun5GzBGM:http://loopdreamer.files.wordpress.com/2009/08/kebakaran-hutan.jpghttp://t0.gstatic.com/images?q=tbn:NVuQdP0aSyUSEM:http://images02.olx.com.my/ui/8/53/33/1283172897_116645033_3-Pok-ke-atau-Tok-Ke-220-gram-Animals-1283172897.jpg

Kebakaran kecil sering berlaku di Empangan Muda dan pencarian tokke merupakan ancaman baru kemusnahan pokok-pokok bernilai.

Tindakan kawalan.

Memandangkan ancaman kepada kepupusan spesis ikan tertentu, pihak perikanan bersama-sama persatuan nelayan yang agak aktif di sini bersatu membanteras kerakusan golongan tertentu. Jabatan Perikanan telah mengeluarkan papan tanda larangan bukan saja kesalahan menggunakan bahan letupan, tetapi juga penggunaan alatan atau bahan-bahan seperti pukat tiga lapis, pukat bersaiz kurang dari satu inci dan racun ( tuba ).

Bukan itu saja, larangan juga meliputi penangkapan ikan kelah merah, tengas dan kelisa yang memang sudah hampir kurang di empangan ini. Manakala persatuan nelayan pula diberi kuasa dan kebenaran untuk memeriksa peralatan –peralatan yang dibawa oleh para pelancong yang datang ke empangan ini.

Papan tanda larangan menggunakan peralatan-peralatan yang dilarang.

Menurut papan tanda larangan aktiviti penangkapan ikan yang disediakan, sesiapa yang ingin menangkap ikan di sini perlu ada lesen atau permit. Juga dinyatakan larangan menggunakan peralatan seperti ledakan bahan api, racun, peralatan elektrik, penggunaan besi tajam atau seumpamanya, pukat tunda dan pukat jerut.

Bagi kesalahan menangkap ikan tanpa lesen dan permit akan didenda RM 100.00. Manakala kesalahan menggunakan peralatan terlarang pula denda tidak kurang dari RM 500.00.

Terdapat juga zon larangan penangkapan ikan terutamanya di kawasan hulu empangan iaitu di utara empangan iaitu kawasan Sg. Teliang, Charok Siong, Sg. Che Siong dan di kawasan pintu empangan.

http://t1.gstatic.com/images?q=tbn:LSvZQ5SLHTR81M:https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhLA3h1RNeBB6smcZMW-Cd2z_j3BIHnuZhATM1Ll7A34mS5OG6J3HAEbxgv3TNvjFDQCruoJpLOYBZhcek8Uj97H5ZWLcvvQ-jtt0xks7aRQHH5Dpu3O4D4H3vX44K_vozgWCOxRHU55NUI/s320/jerantut-ikan%252Bkelah.jpghttp://t3.gstatic.com/images?q=tbn:g9O_u_EvIZLt1M:http://i.ytimg.com/vi/Ewwg4LlUXAM/0.jpg

Kempen menternak ikan kelah merah makin mendapat sambutan.

Sejak akhir-akhir ini, terdapat segelintir nelayan yang membuat tawaran kepada golongan tertentu, ganjaran RM10.00 akan diberikan kepada sesiapa yang membunuh seekor memerang. Langkah untuk memudahkan urusan tuntutan ganjaran adalah dengan cara membawa pulang tangan kanan memerang yang dibunuh sebagai bukti.

Situasi ini bermula apabila, kumpulan memerang yang sering memecahkan pukat para nelayan terutamanya ketika hendak memakan ikan yang terlekat pada jaring. Kesannya para nelayan bukan saja mendapat hasil ikan yang kurang, malah mereka juga terpaksa menanggung kerugian akibat pukat yang digunakan untuk mencari rezeki pecah dan tidak boleh digunakan lagi.

Sebagai langkah kawalan, pihak perikanan telah telah memberi amaran keras dan menyatakan tindakan-tindakan yang akan diambil jika berkara ini berterusan. Dari masa ke semasa, pihak jabatan juga membuat tinjauan di sekitar empangan untuk memastikan tidak ada mana-mana golongan yang melanggar peraturan-peraturan yang telah dinyatakan.

Memerang yang hidup bebas.

Manakala Jabatan Perhilitan dari masa ke semasa sentiasa membuat pemeriksaan di pengkalan dan juga kawasan sekitar empangan. Terdapat banyak papan-papan tanda larangan memburu dan menangkap hidupan liar yang terdapat di jalan-jalan raya dan sekitar empangan.

http://t3.gstatic.com/images?q=tbn:_gszLZoJ1PeC2M:https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjGerrUXCGnl8G1EEWC7jh1jtHb5AawOXqeaKWRWuJYFOCiLVoGf2BshvIxZxDWtchIMDZzI0gNUk_tRWCMGXlpae5NLTbL_5Lp1mdUdvZSAkW5UpbtX_f_luW6EhRQGhyphenhyphenxAJkpv-qQYWA/s1600/DSC01688.JPG

Penternakan rusa dapat menampung keperluan peminat daging rusa.

Peranan kementerian dan agensi-agensi tertentu dalam membantu melancarkan kempen-kempen pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar juga agak memberangsangkan seperti cendawan tumbuh diwaktu pagi. Kementerian Pelajaran telah memasukkan Kempen Menjaga Alam Sekitar kedalam sukatan pelajaran telah membuahkan hasil yang amat memberansangkan. Ramai jenerasi muda sekarang ini yang sudah tahu berhubung dengan alam sekitar dengan mengadakan perkhemahan dan melibatkan diri dalam kempen-kempen penanaman semula pokok-pokok. Keadaan ini diharapkan akan berterusan untuk memastikan generasi akan datang dapat terus menikmati apa yang kita nikmati sekarang ini.

http://t0.gstatic.com/images?q=tbn:Q_dg_n3bViUJ9M:http://img29.imageshack.us/img29/6428/cttanampokok.jpghttp://t0.gstatic.com/images?q=tbn:IHU4zWRgSQU03M:https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi_Lh81JlNgTR4wtgf5lsopCPqgF3pQ-cNok_PjG9NbtP_mhoWOycftFsZ0U6ALpgza5SQCvX4OYpVHAZYeGIJiV1raTp6iP6FJYuiJ9ehR-IwxDUOLLV_3qTPF6o1kCM8oE5jxTGDvTtI/s1600/P9170885.JPG

Antara Kempen Pemuliharaan Alam Sekitar yang dijalankan.

Penutup

Selaras dengan hasrat kerajaan, agar semua tempat-tempat eko-pelancongan perlu dijaga dan dipelihara, bukan untuk dinikmati generasi sekarang malah untuk generasi-generasi akan datang. Peranan ini bukan saja terletak kepada jabatan tertentu, malah juga kepada penduduk sekitar yang mencari rezeki dan juga kepada pelancong-pelancong yang datang untuk menikmati keindahan semulajadi. Lebih penting lagi, jika masing-masing yang terlibat dapat memainkan peranan masing-masing, akan memastikan kesinambungan ‘ penghuni-penghuni’ di empangan ini dan hasilnya akan terus dapat dilihat oleh generasi akan datang. Amat sedih sekali,jika generasi akan datang yang sudah tidak dapat melihat dari dekat bagaimana kehidupan sekumpulan memerang menyelam ke sana ke mari, ikan tengas dan kelah yang belayar di dasar sungai dalam suasana yang sungguh indah dan tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.

Pengalaman sehari semalam di Empangan Muda memberikan ketenangan, keinsafan dan mengagungkan kekuasaan Allah yang menjadikan alamnya dengan penuh kesempurnaan sehinggakan timbul kesedaran, empangan ini sesuai untuk semua jenis manusia. Bak perpatah, ‘ Tak tahu maka tak cinta’. Hanya mereka yang mempunyai kesedaran sahaja dapat menggambarkan betapa pentingnya sikap pemuliharaan dan pemeliharaan dan kesedaran ini perlu disemai kepada seluruh rakyat terutamanya jenerasi baru agar khazanah negara ini terus terpelihara selama-lamanya. Bagi pencinta alam sekitar, sekali melangkah kaki ke Empangan Muda akan melahirkan satu memori dan kenangan yang akan dilupakan buat selama-lamanya yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Hanya insan yang boleh menilai saja dapat merasakan apa yang telah dirasai.

BIBLIOGRAFI

Modul Bina Insan Guru, (2000), Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan

Malaysia.

http://images.google.com.my/images?hl=en&source=hp&q=empangan+muda&btnG=Search+Images&gbv=2&aq=f&oq=

http://images.google.com.my/images?hl=en&gbv=2&tbs=isch%3A1&sa=1&q=flora+dan+fauna+di+empangan+muda&aq=f&oq=&start=0

http://images.google.com.my/images?hl=en&gbv=2&tbs=isch%3A1&sa=1&q=hidupan+air+di+empangan+muda&aq=f&oq=&start=0

http://ainiyah.fotopages.com/?entry=642656

http://wikimapia.org/1068281/Empangan-Muda

No comments:

Post a Comment