Siapakah Si Henry Gurney?

Digambarkan dalam Buku Teks Sejarah Tingkatan 3, beliau seorang yang berjaya mengekang pengaruh komunis di Tanah Melayu. Jasanya besar untuk Tanah Melayu kononnya. Akhirnya beliau dibunuh oleh PKM semasa dalam perjalanan ke Bukit Frasier. Ramai tidak menyedari perlantikan Sir Henry Gurney sebagai Pesuruhjaya British ke sini kerana kerjanya yang hebat di Palestin selama 2 tahun (1946-1948). Apa kerjanya? Membawa pendatang Yahudi masuk ke Palestin dari Eropah dan menghalau dan membunuh rakyat Palestin dari bumi mereka sendiri. Ketika Henry Gurney bertugas di Palestinlah berlaku siri pembunuhan kejam di bumi Palestin. Pengganas Yahudi Haganah dan Irgun kemuncak keganasan mereka adalah ketika Henry Gurney bertugas di Palestin. Ingat! Peristiwa Dier Yasin ( Mei 1948)yang meragut nyawa 300 orang wanita dan kanak-kanak Palestin berlaku ketika Henry Gurney masih berada di bumi Palestin. Beliau datang ke Tanah Melayu Oktober 1948. Malangnya, nama beliau di sanjung di sini. Jalan dan sekolah diabadikan nama Henry Gurney. Bahkan tempat beliau dibunuh pun diberi papantanda. Apakah jasa beliau di sini? Ingat! Beliau dibunuh dalam keadaan menjadi Ketua Penjajah! Dalam keadaan tangannya berlumuran darah rakyat Palestin! Apapun jasanya ia tetap seorang penjajah, perlukah penjajah disanjung, salam kemerdekaan.

GST akan menjelma

Mampus juga, masih juga nak laksanakan walaupun rakyat menolak, memang la jika di pandang akan menguntungkan kerajaan, mahu taknya semua orang membeli ada cukai, bertambah mewahnya kerajaan berbelanja, kalau secara berhemah kira ok juga nie bina jamban pun mau berjuta jadinya. Kepada yang memerintah memang membahagiakan, tetapi bagi kami masyarakat pertengahan dan bawahan akan terus di tindas dan di benamkan, antara petikan akhbar hari ini,40 barang akan dikecualikan jika GST dilaksana, kata Husni. Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata kira-kira 40 barangan keperluan asas, termasuk tepung, beras dan gula, akan dikecualikan daripada cukai sekiranya cukai barangan danperkhidmatan (GST) dilaksanakan. Beliau berkata kajian mengenai perkara itu sedang dilaksanakan, dan rang undang-undang berhubung GST dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan. "Kita sedang berbincang dengan NGO dan syarikat korporat sebelum keputusan mengenai GST diputuskan bagi mengambil kira kesejahteraan rakyat," katanya . Rakyat hendak, itu sebab la BN menang, betul ka? atau mainan undi.

Hujan saja yang turun....TNB?

Dalam mengharungi arus kehidupan, manusia sentiasa berlumba untuk mencari kekayaan, begitu juga dengan syarikat2 yang di beri kuasa untuk mencari keuntungan khasnya TNB, satu syarikat gergasi yang sentiasa mencari jalan untuk memerah keringat rakyat untuk tembolok sendiri. Minggu ini ada dua berita tidak baik, pertama mengenai kenaikkan tarif letrik dan kedua fasal peminjam PTPTN yang gagal membayar pinjaman secara konsisten bakal kehilangan hak untuk 'hidup' apabila nama disenaraikan dalam sistem CCRIS. Ini sangat pelik, apakah negara ini sudah rosak apabila pinjaman untuk melanjutkan pelajaran sudah setaraf dengan pinjaman kad kredit, sewa-beli kenderaan dan pinjaman perumahan. Padahal terma 'pinjaman' itu sendiri sepatutnya diganti biasiswa. Kedua-duanya berita di atas punya kesan langsung yang menambah kesempitan hidup rakyat dan diburukkan lagi oleh beberapa siri kenaikan harga barang keperluan asas dan harga perkhidmatan. Di sebalik keuntungan berbilion syarikat monopoli TNB, khabaran kenaikkan tarif sudah kedengaran sejak awal tahun. Ia dititik-beratkan lagi ketika memasuki musim pilihanraya dengan detonasi kenaikkan tarif letrik akan berlaku sekiranya kerajaan BN kekal memerintah. Nah, ia benar-benar berlaku. Apakah rasional sebuah syarikat monopoli berkaitan kerajaan yang sudah untung berbilion, menaikkan lagi tarif letriknya. Tidak kiralah apa jua alasannya samada untuk menampung kos operasi TNB atau menokok tembolok pengusaha IPP, soalnya mengapa rakyat terus menjadi mangsa? Inikah hadiah untuk rakyat yang akan sentiasa mengiyakan semua yang kerajaan buat, kita bukan seperti jiran2 kita, silap sikit demo, kita tetap rakyat yang sentiasa mengAMIN apa yang kerajaan buat, tahniah untuk rakyat malaysia yang masih lagi di selesa di pemerintahan sekarang. mampus juga.

Sudah-sudah la menimbun khazanah

Dalam entri terbaru diblognya, chedet.cc. pada Khamis, Perdana Menteri keempat selama 22 tahun itu bagaimanapun, turut menyatakan kegembiraannya dengan penjelasan Pak Lah dalam bukunya, The Awakening, bahawa bukan beliau membuat kenyataan tersebut, namun ia dibuat oleh penemuduga, yang menyatakan sekiranya dia mengikut nasihat beliau negara akan muflis. Dr Mahathir berkata: "Ya, saya setuju bahawa saya seorang Perdana Meneri yang boros dan menghabiskan duit kerajaan dengan membina Lebuh Raya Utara Selatan, Jambatan Pulau Pinang, West Port, KLIA, Putrajaya, Cyberjaya dan beberapa projek lain." Beliau berkata, "semua ini perlu dihentikan untuk menyelamatkan Malaysia daripada bankrap." Dr Mahathir berkata, Abdullah berjaya menghentikan projek jambatan bengkok dan landasan berkembar elektrik. Jelasnya, pembinaan jambatan itu menelan belanja RM 1 bilion sementara bagi pembatalan projek tersebut kerajaan terpaksa membayar pampasan bernilai RM200 juta kerana kerja yang tidak siap. Dr Mahathir berkata projek kereta api dari Johor Baru ke Padang Besar menelan belanja RM14 bilion - lebih daripada RM2 bilion setiap setahun selama enam tahun. RM14 bilion pula dapat diselamatkan namun ada keperluan yang lebih baik untuk membina landasan berkembar elektrik dari Ipoh ke Padang Besar, dengan kos RM12 bilion, tambahnya. "Kontrak telah diberikan kepada syarikat antarabangsa untuk membina landasan dari Seremban ke Gemas. Saya tidak tahu berapa kosnya. Seolah-olah RM14 bilion dapat dijimatkan untuk membina landasan yang lebih pendek. Namun masih banyak wang yang boleh dijimatkan," katanya. Bukan itu sahaja, Dr Mahathir berkata jet kecil yang beliau gunakan masih dianggap hanya sesuai untuk Timbalan Perdana Menteri sementara jet yang lebih besar dibeli tidak menggunakan saluran biasa namun dibeli daripada individu persendirian. Akhir kita amat beruntung diatas perletakkan jawatan che det walau pun tun memberikan sumbangan besar, tetapi tun lebih cenderung untuk menghimpun kekayaan untuk generasi dan sedikit membalas budi kepada kroni.

INSANIAH -KUALA KETIL

Zuraidi Rahim 18hb Ogos melalui mudah alih Sebelum ini aku tak campur dlm urusan insaniah di kuala ketil kedah...tapi hari ini aku marah pasai kerajaan negeri terlalu politik kan isu ini dalam soal gaji kakitangan selama ini...soal hampa nak jual kah nak lelong kah tapi gaji wajib dibayar..kita berjanji dengan rakyat kedah sebelum kita menang dalam pru 13 '' BN Menang Kedah Senang " tapi kita sendiri tak mengotakan janji kita...jangan kita buat serupa harta pusaka mak bapa kita bila jadi pemimpin di kedah.. Antara petikan seorang pemimpin muda UMNO kuala ketil. harap dapat berjuang seperti yang di katakan jangan lupa slogan Umno menang, rakyat senang, bukannya Umno menang kroni senang. bersama muhasabah diri dlm menjalan pentadbiran, jangan jadi seperti pentadbiran yang sudah-sudah memimpin tak boleh diharap, sama kedua-duanya, hanya kroni yang senang, rakyat cuma tahu gembira, walaupun keperitan terus membaham dengan segala kos kehidupan. Kasihanilah rakyat yang selalu tertipu dengan janji pemimpin yang hanya mampu mengkayakan diri sendiri.

Memali

Ibrahim Libya: "Daripada Hidup Bercerminkan Bangkai ..." Asap putih menyusur di celah dedaun pokok nan rimbun itu. Kepulan yang naik menjulang langit, menutupi sebahagian hadapan rumah papan. Kiri kanan tingkap terbuka lebar, memuntahkan haba panas yang mencengkam rasa. Pedih mata, tak terkata hingga nafas tercungap-cungap dada. Asakan gas bertubi-tubi terus dilemparkan dan dihalakan ke arah susuk-susuk tubuh yang sudah tidak keruan. Asalnya, mereka sekadar terpacak di balik pagar buluh, di ruang laman. Sebuah kereta perisai, gah berada sejengkal dari mereka sambil menghalakan muncungnya tepat kepada mangsa. Keributan dan kekalutan dasyat pagi itu, disaksikan fajar yang baru terbit di alis awan dengan iringan sejumlah ketumbukan lebih 3,000 anggota keselamatan yang mengepung kawasan. Orang kampung, hanya mampu mengetap bibir sambil melihat dengan pandangan yang berkaca. Tidak lama kemudian, tragedi menghayat hati pun memulakan kisah lukanya. Saat itu, sebiji kelongsong peluru gas pemedih mata menghentak buju dahi gadis comel Naziah Hassan, 12 yang berada di situ. Memercik darah merah menyala dan dia akhirnya rebah serta-merta. Shafie, seorang guru yang melihat kelibat Naziah yang jatuh ke tanah, sudah tidak dapat menahan pilu, lalu membungkam rasa geram yang sudah membuak-buak akibat kecelakaan itu. Dia langsung melompat pagar lalu meluru ke arah pasukan yang sudah siap siaga. Dia berhenti lalu melaungkan takbir, sambil menghunus pedang. Belum sempat, nafas dihidu, dua das tembakan tepat mengena tubuhnya, yang kemudiannya longlai menyembah bumi Memali. Tubuhnya, syahid pertama dipanggil Illahi. Kemudian, di ruang tingkat atas rumah yang masih bermain dengan asap dan bau busuk gas puaka, Abdullah Che Soh sedang bertahan, cuba mengangkat tangan untuk meleraikan keadaan dan minta tidak diapa-apakan. Beliau mengepung dua anggota keselamatan supaya menghentikan tembakan. Tersalah atur, Abdullah yang dikenali sebagai Pak Tam dihujani peluru tak bermata. Bukan satu tetapi tujuh. Dua tembakan di dada, dua di lengan dan dua di telapak tangan. Yang terakhir tertusuk di kiri pinggangnya, yang membuatkan Pak teh mula berpinar-pinar dan tersungkur. Darahnya basah di seluruh badan. Ketika sekujur tubuhnya berada di laman, Pak Tam tak mampu membuka kelopak matanya yang sudah mula direnjis renyai-renyai hujan, yang berkabung mendung.Darahnya mengalir laju, disirami gerimis pagi itu. Abdul Rahim Waboh yang berada di belakang rumah terpaksa meniarap, lantaran tembakan bersimpang-siur mencari nyawa. Dia asalnya mahu ke kebun getah sejurus mendengar kuliah subuh Ustaz Ibrahim Libya, terpinga-pinga sambil menyelamatkan diri. Lain pula dengan Azmi Haji Salim dan Mat Ramli Che Mit, masing-masing berhati kental berhadapan dengan pasukan keselamatan di batas sawah. Azmi dengan hanya berbekalkan buah-buah guli sekarung yang tersisip di pinggangnya tidak teragak-agak melastik anggota yang melepaskan tembakan. Kena ataupun tidak, dia tidak peduli sehinggalah muncung senapang rapat ke mukanya, tanda perlu menyerah diri serta-merta. Manakala Mat Ramli yang pada mulanya cuba menghalang anggota keselamatan daripada mara ke hujung jalan rumah Ustaz Ibrahim, terpaksa meredah hutan berundur diri. Kemudian anak Azmi dikenali Mohd Zahir,13 yang menyusup dengan guni basah bergerak seiring dengan anggota keselamatan, akhirnya ditangkap sambil dihayun penumbuk ke mukanya sehingga berdarah. Kemudian ceritanya, dia dihumban ke dalam trak. Di celah semak dan timbunan kayu, seorang anak muda Muhammad Ahoiri memerhati dari jauh. Dia sudah tidak dapat menahan sebak, mengalir air mata semahunya. Di pandanganya terlihat ayah dan adiknya diseret ke penjuru jalan. Kemudian dia melihat beberapa sahabatnya seorang demi seorang sujud tak bernyawa lagi. Antara yang jelas ialah Razki dan Ghazali yang sebentar tadi baru sahaja mengunyah sarapan pagi dengannya di perdu pisang berhampiran rumah Ibrahim. Masing-masing menjamah nasi goreng, sambil menitip nasihat akidah dan tauhid kepada Ahoiri. "Niat dan buatlah bersungguh-sungguh kerana Allah, dan jika mati kita tidak sia-sia...insya-allah syahid hendaknya." Kata-kata mereka berdua, terakam kemas diingatan dan kini, mereka mendahuluinya menemui tuhan. Ahoiri, tidak mampu lagi mengesat air matanya yang sudah menumpah. Di anjung rumah, mula kedengaran esakan tangisan yang memilukan. Anak-anak kecil sedang meratapi dan memeluk tubuh ayah mereka nan kaku. Si-ibu sudah tak terkata apa-apa, lantas mengucup dahi insan yang dicintai, merelakan pergi dengan air mata basah di pipi. Babak sayu itu tidak terhenti di situ. Selagi batang tubuh Ustaz Ibrahim Libya tidak menyerahkan diri, selagi itulah muntahan senjata dan rempuhan demi rempuhan terus berlaku. Ibrahim yang ketika itu berada di sebalik tiang berhampiran dinding rumah, tidak berganjak dengan nawaitu pendiriannya yang kejap dan tegas. Tak akan menawar dan menggadaikan diri untuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). "Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik bergalang tanah," kata-kata hikmat yang dingati sebilangan besar anak muridnya. Ibrahim makin tidak dapat menerima alasan, beliau dianggap penjenayah, pengganas dan guru ajaran sesat. Selama ini, kerjanya dan amalnya semata-mata mentauhidkan Allah. Dan subuh tadi sebelum tragedi ini, selesai solat beliau menyampaikan kuliah akidah. Serangan seterusnya menyasarkan Ibrahim tanpa amaran. Dua peluru daripada anggota keselamatan pantas meluru memamah dada dan perut Ibrahim. Percikan darah mula menyimbah. Di tengah ruang itu, anak bongsu Ibrahim, Norsyuhada sudah lama rebah dek kerana pengsan terhidu gas pemedih mata. Kemudian tubuh Ibrahim diusung ke penjuru dapur rumah. Di pangkuan isterinya Solehah, beliau tidak henti-henti menyebut kalimah Allah dan akhinya doanya diserap langit nan tinggi, gugur syahid mengadap Illahi. Beliau kembali menemui tuhannya bersama 13 sahabatnya yang lain, yang turut menyembah bumi. Dan hari itu, tanggal 19 November 1985, maka sejarah hitam penuh nanah terpahat dalam lipatan penuh kelam. Awan dingin memayungi kampung Memali dengan rembesan air yang senada tangisan makhluk di bawahnya. Kemudian kisah seharian itu melabuhkan tirainya pada petang itu. Gelimpangan jenazah kemudiannya diangkat. Ramai digari dan disusun rapi berarak ke atas trak. Kemudian disumbat ke penjara di serata tempat. Yang cedera dan darah masih merah pekat, diikat dan dibawa ke hospital untuk dirawat. Kampung itu masih dikepung dan di bawah perintah darurat. Dua hari kemudian, Almarhum Ustaz Fadzil Noor Presiden PAS ketika itu bersama pendokong perjuangan Islam yang lain sudah bersiap sedia menguruskan jenazah yang berada di rumah mayat sejak peristiwa pedih itu. Tatkala mengangkat satu persatu jenazah itu,daripada bilik simpanan beku, terasa hangatnya lagi darah yang mengalir. Dengan van buruk, mereka membawa jenazah syuhada itu ke Masjid Parit Panjang, yang jauhnya 15 kilometer daripada tempat kejadian yang sudah disekat masuk dan dihalang untuk sebarang pengebumian dilakukan. Dan 13 syuhada itu kemudiannya dilayan selayaknya seorang syuhada, disimpan dan dikebumikan dalam keadaan darah masih merah mengalir di tubuh, menjadi saksi kepada Pencipta Langit dan Bumi. Salah seorang syuhada pula dikebumikan di kaki gunung di Alor Melintang. Tanah kubur Pasir Panjang kemudian memeluk erat pejuang Memali itu yang antaranya terdiri daripada seorang guru, ustaz, enam penoreh getah, pegawai agensi kerajaan, pemandu teksi, penjual buah, pekebun dan bekerja sendiri. Lalu, hari-hari kemudiannya menjadi sepi dan menyiat hati sanubari. Maka lengkaplah misi. Biar apapun alasan, yang penting operasi mereka selesai. Sebenarnya kisah tragis mengorbankan banyak nyawa tak berdosa, lantaran arahan caca marba dalam Operasi Hapus yang dipanggil mereka. Kata pihak atasan, menggempur kubu pengganas komunis. Kemudian berlaku sebaliknya. Yang di kepung, rumah orang kampung. Kemudian cerita ditukar lagi. Kata mereka menangkap penjenayah berbahaya, pengganas dan guru ajaran sesat bernama Ibrahim Libya. Hasil daripada kecelaruan, kebuasan dan kecuaian pemerintah ketika itu, kampung itu dilanggar musibah. Ibrahim terbunuh bersama 13 lagi pejuang Memali. Manakala empat anggota keselamatan juga turut terkorban. Beberapa orang terkena tusukan guli dan libasan pedang. Empat pejuang cedera parah. Lebih 100 disumbat kedalam penjara. 36 lagi disimpan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping. Tidak cukup dengan itu, seoarang saksi kejadian Idris Husin sudah tidak boleh menjalani kehidupannya seperti biasa. Dia hilang ingatan dan trauma tragedi masih terbayang. Idris tidak boleh mendengar riuh rendah orang ramai, bunyi siren kereta peronda dan apa jua letupan mahupun bunyian bising. Dia akan menggigil. Dia semakin menyendiri dan beberapa tahun lalu, Idris pula menemui Illahi dalam keadaan menderita sepi. Lebih pilu dan sayu sepanjang hayat, peristiwa sedih itu meninggalkan puluhan anak-anak yatim beserta balu-balu yang tidak sempat meraih kasih mesra insan tersayang dan tercinta. Setiap hari bersulam duka dan mendodoi anak-anak kecil, dengan zikir dan doa bertemu ayah di syurga. Tidak lama kemudian, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim sudi mencemar duli, menyumbang 13 batu nisan secara peribadi dan menyirami kubur yang penghuninya adalah rakyat jelatanya sendiri. Di kaca TV, satu rakaman ditayangkan di seluruh negara tentang kejadian itu. Seorang bekas Menteri sedang menceritakan sesuatu yang tidak difahami oleh seoarang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ketika itu. Dia sedang menonton bersama ayah, ibu dan adiknya yang sedang merengek manja. Babak anggota keselamatan menembak seorang lelaki yang berdiri tegak sambil menjulang senjata parang, terus mengejutkan budak itu lantas bersuara. "Ayah, kenapa pakcik tu kena tembak?" Lantas ayahnya bingkas bangun masuk ke bilik tanpa sebarang kata. Dia melihat ibunya pula, yang juga tidak bernada kecuali air mata yang berjurai banyaknya. Saya ketika itu tertanya-tanya dan 25 tahun kemudian saya sudah berada di bumi Memali, mencari satu jawapan yang pasti. Bersama rakan, Muhammad Zaki, kami berdua menjejaki pejuang Memali di suatu pagi yang bening. Sebenarnya, setelah diperkenalkan orang kampung, kami menemui ramai pejuang Memali namun enggan ditemubual. Ada yang cukup malu dan ada yang tidak mahu membuka luka lama. Sukar asalnya hajat kami berdua untuk menyingkap kisah sejarah perjuangan orang terdahulu. Bermula pagi, sehinggalah tengahari, barulah kami berdua berjaya memujuk seorang pejuang Memali. Beliau ialah Abdullah Che Soh, yang terkena 7 das tembakan peluru hidup namun dizin Allah masih bernyawa. Kini, Abdullah yang dikenali Pak Tam, 60 tunduk merenung lantai, sambil mengamati semula satu persatu kisah sayu itu. "Allah telah mentakdirkan saya hidup untuk menceritakan semula kisah sedih ini "Setelah cedera , saya di bawa ke hospital untuk dibedah. Tangan saya masih bergari walaupun parah. Setelah dibedah, saya disumbat ke dalam penjara selama lima bulan. Kemudian, sambil tersenyum memandang saya, sambil berkata tenang:"Saya tidak menyesal apa yang berlaku malah bersyukur terpilih untuk terlibat dalam perjuangan ini,"katanya sambil menunjukkan parut-parut di badan kesan tujuh tembakan peluru. Itu kisah Pak Tam. Dan banyak lagi cerita yang tak terungkap. Kajang kertas ini tidak cukup menampungnya. Dari kisah semangat api yang tinggi, sehinggalah cerita pedih di hati. Ada yang boleh dicebis tetapi banyak yang terpaksa disisip rapat, agar fitnah yang sedang tidur tidak terus bangkit. Namun bagi yang ingin menyusuri, datanglah ke bumi ini, Pastinya tidak menghampakan. Hadirlah ke sini 18 November akan datang, untuk lebih mengenali pejuang-pejuang dan kisah sejati di sini. Kami kemudian bersua dengan Timbalan Mudir Madrasah Islahiah Diniah Ustaz Yusof Che Mit, antara yang begitu dikehendaki bersama Ustaz Ibrahim dan. dia sebenarnya pada hari kejadian, berada di Kelantan. Beliau agak hairan mengapa Ibrahim ingin ditahan. Katanya dia seoarang yang cukup dekat di hati masyarakat setempat. Sentiasa mengajar masyarakat agar tauhid dan bertakwa kepada Allah melalui kuliahnya. Boleh bermain guli dengan sicomel kanak-kanak kampung atau sepak takraw bersama para pemuda di Memali. Pengaruhnya yang besar telah melonjak namanya dan juga PAS yang perjuangannya berlandaskan Islam. Akibat itu, cemburu membungkam mata, menutup kebenaran kata dan gerak gaya lantas fitnah bermaharajalela menuduh As-syahid Ibrahim Libya pengganas, penjenayah dan guru ajaran sesat yang perlu ditangkap. Dan ISA sentiasa mengintai untuk menahannya dari sehari ke sehari. Melihatkan kepada latar belakangnya, agak aneh tuduhan yang dilemparkan. Bermula dari pendidikan Islam asuhan ayahandanya Tuan Haji Mahmood seorang guru agama yang disegani dan kemudiannya ke Madrasah Khairiah Pokok Sena. Assyahid meneruskan pengajian di Pusat Pengajian Tinggi di Nilam Puri untuk beberapa tahun sebelum belayar ke Lucknow dan Durban, India mendalami hadis. Beliau sempat berguru dengan tokoh ulama Islam tersohor di abad ini iaitu Maulana Sayyid Abul Hassan Ali Nadwi. Assyahid berada selama lebih kurang empat tahun di India sebelum melanjutkan pengajian ke Azhar, Mesir kemudian menamatkan pengajiannya di Libya..As-syahid kembali ke tanahair awal tahun 1970an, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengarah di Institut Dakwah Islamiah Malaysia. Sebagaimana telah dijangka bahawa assyahid tidak sanggup berada lama di bawah ikatan pemerintah yang tidak berpaksi kepada tuntutan agama, lalu meninggalkan segala kedudukannya untuk balik ke kampung halaman mencurahkan bakti sebagai pendakwah, pendidik dan bergerak aktif dalam politik Islam. Dan selepas itu, sejarah hitam membaluti Kampung Memali. Dan terkenang dan meninggalkan kesan sehingga kini. Ibrahim syahid ketika mempertahan agama Allah. Setelah menemubual beberapa orang pejuang, saya dan Zaki melepaskan lelah di sebuah warung di hujung kampung. Rupanya pemilik warung minuman yang bersih itu, seorang wartawan sambilan Harakah era Memali dikenali sebagai Tarmizi. Beliau sempat bercerita tentang serban milik Azmi yang pernah membalut tubuh Ustaz Ibrahim yang berlumuran darah akibat tembakan peluru. Katanya lima bulan selepas kejadian, serban yang itu mencebiskan bau yang cukup harum selama dua minggu sehingga ramai yang datang melawat melihat kejadian aneh itu. "Pergilah balik ke rumah Azmi untuk lihat tinggalan sejarah....serban tu," katanya kepada kami berdua yang kemudiannya tanpa lengah menuju semula ke rumah pemilik serban itu. Dan kira-kira jam 1.00 pagi, barulah Azmi mengeluarkan serban yang sudah 25 tahun disimpan kemas tanpa dibasuh darahnya yang kini masih jelas kelihatan. Setelah menemuduga tujuh saksi sehingga jam 3.00 pagi, kami kemudian melabuhkan badan dan melelapkan mata di bilik Madrasah tersebut, sambil diselimut sejuk malam. Keesokan paginya kami bertemu dengan Abdul Rahim yang membawa kami melihat kesan-kesan lubang peluru yang menghujani sebuah pondok kecil yang terletak dalam laman rumah arwah Ibrahim Libya. Ketika itu balu almarhum Hajjah Solehah tiada hanya tinggal anak lelaki as-syahid yang membawa kami meninjau ke dalam rumah yang sudah diubah suai. Hanya bahagian atas rumah, masih kekal seperti sedia kala, dan bayangan huru-hara tembakan tak bermata dan laungan kalimah Allah, menerpa ke fikiran tatkala saya memandangnya. Pagi nan hening itu, kami menyedut sedalam-dalamnya udara bersih laman, tempat berlakunya bertempuran dan merenung sejenak, peristiwa tumpah darah yang tak berjiwa itu. Sebak, tragedi 25 tahun ini masih membekas. Ya, tidak lama lagi, bermula 19 November akan datang, kawasan sekitar medan tempur dan Kampung Memali ini akan kembali hiruk pikuk dengan sambutan umat manusia. Bukan lagi untuk mengadap atau mengharung hujan peluru dan kepulan asap putih yang kemudiannya meragut nyawa, tetapi riuh dengan kehadiran gelombang limpahan para pejuang taat setia kepada perjuangan Islam. Hadir dan datangnya mereka untuk mengutip kembali semangat yang bertebaran di bumi Memali untuk selama-lamanya. Jangan lupa untuk menjengah perkampungan sejarah ini pada 19 November ini sempena Sambutan 25 tahun peristiwa Memali. Salam perjuangan!

EMPANGAN MUDA

Pengenalan

Empangan Muda ( Muda Dam ) tidak asing lagi penduduk yang berada di sekitar Baling, Sik dan Padang Terap. Ini adalah kerana empangan yang berkordinat N607.267 E 100 51.600 adalah merupakan empangan yang bersempadankan ketiga-tiga daerah ini dan antara empangan yang terpenting di negeri Kedah.

Empangan yang 110 m dari aras laut ini bukan saja penting kepada sumber pengairan padi kepada petani-petani di Kedah dan Pulau Pinang, malah juga penting kepada penggunaan air seharian kepada penduduk kedua-dua buah negeri dan sektor perkilangan.

Memulakan perjalanan ke bahagian hulu empangan yang sungguh indah.

Keluasan empangan ini adalah 105,060 ha.persegi, meliputi kawasan berair dan hutan rimba, merupakan satu sumber kawasan tadahan hujan utama di negeri Kedah. Manakala sungai-sungai yang membekalkan air kepada empangan ini seperti Sg. Teliang, Sg. Muda, Sg. Lasor, Sg.Baho, Sg. Pior dan Sg. Weng. Bagi Sg. Lasor dan Sg. Baho, sumber airnya berasal dari negara Thailand.

Bentuk Empangan Muda dan dua sungai utamanya.

Bagi penduduk sekitar, empangan ini lebih dikenali sebagai Empangan Gubir sempena nama satu kawasan paling hampir dengan empangan ini iaitu Padang Gubir, kawasan yang sekarang ini dijadikan sebuah kem tentera yang berada berhampiran empangannya iaitu Kem Gubir. Bagi mereka, empangan yang menjadi sumber rezeki kepada lebih 40 orang nelayan ini, boleh diibaratkan sebagai sebuah daerah kerana terdapat berpuluh-puluh kawasan utama di sini antaranya Charok Kepas, Charok Sira, Charok Tero, Che siong,Nipis Kulit, Kaji Cuaca, Guling Balak, Bendang Kalai, Debu, Nyeh, Jeram Keris dan banyak lagi.

Nelayan yang sedang menjala ikan.

Antara yang menarik perhatian bagi Empangan Muda ialah ianya dihubungkan dengan Empangan Pedu melalui sebuah terowong seluas lebih kurang 60 kaki. Terowong ini dikorek sejauh 13 km melalui bukit sepanjang jalanraya dari Kem Inlet di Empangan Muda ke Kem Outlet di Empangan Pedu. Tujuan utama terowong ini adalah untuk menyalurkan air dari Empangan Muda ke Empangan Pedu terutamanya ketika membekalkan perairan kepada petani padi di bawah kelolaan MADA. Melalui terowong ini juga dapat memudahkan pergerakan ikan-ikan antara kedua-dua

empangan dan menjamin paras air diantara kedua-dua empangan sama ada pada waktu hujan atau pada waktu kemarau.

Lokasi permukaan terowong di Kem Inlet yang menghubungkan kedua-dua empangan yang ditanda dengan pelampung besi.

Terdapat juga tiga kawasan penempatan orang-orang dahulu yang boleh dilihat jika kita datang ke empangan ini, iaitu Charok Che Siong, Berhala dan Bendang Kalai. Walaupun sudah tenggelam dan berlaku hakisan, tetapi kesan-kesan peninggalan bagi setiap kawasan masih boleh dilihat.

Deretan pokok getah yang sudah berusia hampir 60 tahun masih dapat dilihat di Charok Che Siong yang merupakan kawasan penempatan suatu ketika dahulu.

Flora dan Fauna.

Bagi para nelayan, Empangan Muda merupakan lubuk ikan kerana di sini terdapat berbagai spesis ikan antaranya ikan kelah, tengas, haruan, keli, seluang, tilapia, sebarau, lampam merah, lampam jawa, baung, teruboi, patung, susur batang, bujuk dan yang paling istimewa dan mahal ialah kelisa putih ( silver ).

http://www.ikankelah.com/images/kelahbesar/ikan-kelah-merah-bara-1.jpg

Ikan kelah merah antara spesis ikan yang terdapat di Empangan Muda.

Aktiviti-aktiviti nelayan yang sering dilakukan di empangan ini adalah seperti memancing, menjala, merawai dan memukat. Kegiatan penangkapan ikan yang dilakukan disini adalah merupakan aktiviti turun-temurun dari jenerasi dahulu lagi. Kebiasaannya, para nelayan akan keluar memasang peralatan penangkapan pada waktu petang dan mereka akan mengangkat peralatan yang digunakan pada waktu pagi setiap hari. Semua hasil tangkapan ikan akan dijual kepada peraih yang sedia ada menunggu di pengkalan perahu.

Suasana pengkalan perahu di Empangan Muda

Empangan ini juga turut diserikan dengan hidupan di udara seperti burung helang, enggang, dok-dok, perga, kuang, mati sekawan, punai, tiaq, murai batu, murai cacing, merbah, can jambul, barau-barau, raja udang, belibis, ayam hutan dan perkok.

Manakala bagi mereka yang suka memburu pula, nama kawasan seperti Jeram Gajah, Sira Jawa, Sira Bongor, Sira Keladi, Labua, Sira Air Hangat, Kuala Surat, Sira Batu, Air Baho, Lasoo dan banyak lagi, merupakan kawasan yang banyak dengan rusa,

kijang, pelanduk dan sebagainya. Manakala haiwan-haiwan lain yang juga terdapat di sekitar empangan ini adalah seperti gajah, harimau, beruang, badak tuli, napuh, seladang dan haiwan-haiwan eksotik yang lain.

Biawak yang hidup dalam sungai ini

Apa yang lebih menarik, sepanjang tempoh kami berada di empangan ini iaitu sehari semalam, kami terserempak dengan sekumpulan pemburu yang kebetulan sedang siap sedia untuk berburu di kawasan hutan sekitar. Kami sempat menemubual dan mengambil gambar peralatan-peralatan yang digunakan untuk berburu iaitu senapang patah, lampu picit, peluru , pisau dan beg untuk membawa bekalan makanan dan minuman.

Peralatan pemburuan.

Empangan Muda ini juga kaya dengan hasil-hasil faunanya yang unik, bernilai tinggi dan sesuai untuk pengamal-perubatan. Pokok-pokok seperti meranti, cengal, merbau, keruing,nyatoh, jelutung, petai, nering, jakir, kola manok, depu, jeha, legong dan pelbagai spesis tumbuhan lain telah menghiasi lanskap hutan rimba yang berusia jutaan tahun ini. Pokok-pokok ini bukan saja menjadikan kawasan sekitar seperti taman, tetapi yang lebih penting lagi sebagai sumber simpanan air utama, penyejuk

suasana empangan dan menjadi habitat utama dan sumber makanan kepada semua jenis haiwan air dan darat.

Sarang burung helang pada pokok mati di tengah-tengah air.

Empangan yang menjadi pencinta alam sekitar ini juga tidak kurang dengan hidupan flora tepi air. Pokok-pokok seperti putat, gucir, buluh, adalah pokok-pokok yang berada di bahagian atas tebing dalam keadaan berair pada musim hujan dan kering pada musim kemarau.

Pokok putat pada waktu hujan.

Empangan ini akan menerima musim hujan biasanya pada April hingga Mei dan dari September hingga November setiap tahun. Pada musim ini semua tumbuhan yang berada di bahagian tebing akan dinaiki air. Walaupun begitu, kesemua pokok-pokok ini dapat hidup dan membesar seperti biasa.

Suasana empangan semasa hujan dan kemarau.

Manakala pada bulan Januari hingga Febuari dan Jun hingga Julai pada setiap tahun, kawasan ini akan mengalami musim kemarau. Pada waktu ini , kesemua pokok-pokok yang berada di bahagian tebing akan berjauhan dari air dan terus hidup seperti biasa.

Selain dari tumbuhan yang di nyatakan di atas, terdapat juga tumbuhan-tumbuhan lain yang terdapat di empangan ini. Antaranya juluk, lumut, sarai adalah merupakan tumbuhan yang berada di dalam air sepanjang tahun. Kesemua tumbuhan-tumbuhan yang dinyatakan di atas adalah merupakan pelengkap kepada ekosistem di empangan ini.

Ancaman

Walaupun begitu, keindahan, keunikan dan keistimewaan yang disajikan di empangan ini semakin hari semakin terhakis dan tercalar. Keadaan ini berlaku berpunca dari segelintir ‘ pelancung ‘ yang datang ke sini tidak dapat menilai dan menghargai keistimewaan yang sedia disajikan oleh Allah untuk hambaNya. Keadaan yang semakin kritikal ini berpunca dari orang-orang tertentu yang datang untuk turut menikmati keindahan yang ada, tetapi dalam masa yang sama telah menodai kesucian yang sedia ada di empangan ini.

Tindakan tidak bermoral ini berlaku apabila mereka ghairah untuk mendapat hasil yang berlipat ganda. Mereka sanggup menggunakan ledakan untuk mendapat ikan-ikan terutamanaya di lubuk-lubuk utama yang memang merupakan ‘port’ bagi semua jenis ikan terutamanya ikan yang sememangnya hampir pupus di seluruh dunia seperti ikan kelah merah dan tengas. Mereka menggunakan ‘bom’ buatan sendiri yang dibuat

menggunakan sodium bikarbonat yang boleh menghasilkan letusan dan gegaran yang kuat kepada semua penghuni sesuatu lubuk dan kawasan sekitar. Letusan yang kuat ini akan menyebabkan kematian kepada semua penghuni sama ada spesis yang besar atau yang kecil. Keadaan sedemikian jika sering berlaku akan menyebabkan kepupusan yang drastik kepada semua jenis ikan.

http://t1.gstatic.com/images?q=tbn:IZAx5yc-5IbSzM:http://www.mediaindonesia.com/spaw/uploads/images/article/image/20100115_121110_ANT-200912-000229.jpg

Peralatan ledakan yang digunakan untuk ‘ mengebom ‘ ikan.

Selain dari menggunakan bahan letupan, ada juga di kalangan pelancong yang menggunakan peralatan kuasa elektrik untuk menangkap ikan. Mereka menggunakan bateri kereta dan dihubungkan kepada dua batang besi. Apabila kedua-dua besi dimasukkan ke dalam air, mereka akan mengalirkan arus elektrik dan kesannya semua ikan besar dan kecil akan mati. Kedaan ini jika berterusan akan menyebabkan kepupusan spesis ikan di empangan ini.

Tindakan ini terbukti apabila ramai pelancong yang hadir dan para nelayan mengeluh dengan hasil tangkapan yang merosot teruk dan ada nelayan yang terpaksa mencari alternatif lain untuk mencari rezeki.


Ada dikalangan pelancong yang tiada peralatan menangkap ikan tetapi pulang dengan hasil ikan yang banyak.

Melalui satu temuramah ringkas dengan seorang nelayan bernama Encik Osman Kamaruddin yang tinggal di No. 50 Kampung Keda, Kota Our, beliau menjelaskan bahawa, empangan ini memberi dua sumber rezeki kepadanya iaitu penangkapan ikan dan sewa perahu kepada pelancong yang hadir.

Malangnya hasil tangkapan yang dahulunya sekitar RM 70.00 sehari menurun kepada RM 20.00 dan kadang-kadang ‘balik tangan kosong’ sahaja. Hal yang demikian juga berlaku kepada perolehan sewa perahu dari purata RM 400.00 sebulan kepada RM 100.00 sebulan.

Kelihatan perahu-perahu nelayan yang tersadai.

Ancaman kepada haiwan-haiwan liar juga berada ditahap kritikal. Ekoran dari temubual ringkas dengan sekumpulan pemburu, bagi mereka kekurangan binatang buruan bukan berpunca dari aktiviti buruan yang dijalankan, tetapi apa yang lebih penting ialah kadar kemasukan pelancong yang begitu ramai menyebabkan haiwan tidak selesa dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti memainkan alat muzik dan

kaset menggunakan bateri kering, radio, mandi menggunakan sabun dan berbagai lagi yang tidak sesuai dengan haiwan.

http://t3.gstatic.com/images?q=tbn:2f3nmkEmS7Q19M:https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj8Jrn7dRH6BjrqUwuHvQbZhPotUN5USA-JXY5so7xx2CvxPoprYLhyphYvJElH-92jwiTwSdEVjuqDfa7Y0O-avZGgmdXYPjKNKoQHPlDGt6wW4Jt_Yh4qwqit44TT7WG2lONs1TjPtsY/s320/IMG_1354.JPG

Sira Air Hangat menjadi tumpuan haiwan liar waktu malam dan sekumpulan pemburu yang baru dapat seekor rusa betina.

Bagi mereka lagi, tindakan kerajaan membangunkan kawasan ini seperti membina resort di Labua, menara untuk melihat haiwan di Sira Air Hangat di samping khemah-khemah yang didirikan oleh pelancong yang hadir menyebabkan sesuatu yang baru dan asing bagi semua haiwan. Penerangan yang diberikan menyebabkan kami terfikir dan kadang-kadang ada kebenarannya. Deruan enjin bot dan mesin-mesin jentolak amat ketara sepanjang masa boleh didengari jika kita berada di empangan ini berbanding dengan 10 tahun sudah.

http://t1.gstatic.com/images?q=tbn:U9nVy5GA2sTMVM:http://www.landroversonly.com/forums/attachments/f17/13472d1177469944-weekend-jungle-trip-adik-making-steady-cross.jpghttp://t0.gstatic.com/images?q=tbn:9HIAzn1rSXHBpM:http://www.junglecross.com/images/fireworks_export_r4_c2.jpg

Deruan enjin dan kebanjiran pelancong yang mengganggu hidupan liar.

Sejak akhir-akhir ini, kegiatan mencuri balak secara kecil-kecilan agak membimbangkan. Kebiasaannya, kegiatan ini dilakukan oleh penduduk sekitar empangan ini terutamanya dari Kg. Kota Aur, Kg. Belantik, Kg. Lubuk Batu, Kg. Pinang, Kg. Gulau, Kg.Melaka, Kg. Landai dan Kg. Tok Jering.

Kebanyakan pencuri-pencuri balak ini memotong kayu menggunakan mesin gergaji dan menjual kayu-kayu tersebut kepada penduduk sekitar untuk mendirikan rumah.

http://t2.gstatic.com/images?q=tbn:FOaCFWw8GBTj2M:http://4.bp.blogspot.com/_5hd7oe3kKow/TD-3sjjmTTI/AAAAAAAAEN8/qEnSXhq3dls/s1600/balak.jpghttp://t3.gstatic.com/images?q=tbn:OeGDoKwpjeWajM:http://www.tvselangor.com/pic/thumb/20091126115809_pembalakan_haram.jpg

Pokok balak yang dipotong oleh penduduk sekitar.

http://t1.gstatic.com/images?q=tbn:KXO97RkUZP3odM:https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjVYutOyKEfk4Aupx3wi9U2-mgzQPmzg5u81qgQeHPhsqW5ObkdYZn-O_UG5NG82wDUvnio9gC5scZGLqMpPfBxe9tlrcOLxFx5nsiNL2ilxcZJTEXG1cvQ_U_8oXk4Q2v6ybkRuQhg1Uw/s320/kayu+gaharu.jpg

Kegiatan mencari kayu gaharu oleh penduduk tempatan dan warga Thailand secara haram yang berleluasa dewasa ini turut mengancam kepupusan pokok gaharu.

Sikap para pelancung yang tidak prihatin dan tidak mempunyai kesedaran kepentingan alam sekitar yang datang juga turut menyebabkan kemusnahan hidupan faunanya. Aktiviti membuat unggun api dan memanggang ikan dan tidak memadam sebelum pulang menyebabkan boleh berlaku kebakaran yang besar kepada kawasan

sekitar.

http://t2.gstatic.com/images?q=tbn:dQr62qun5GzBGM:http://loopdreamer.files.wordpress.com/2009/08/kebakaran-hutan.jpghttp://t0.gstatic.com/images?q=tbn:NVuQdP0aSyUSEM:http://images02.olx.com.my/ui/8/53/33/1283172897_116645033_3-Pok-ke-atau-Tok-Ke-220-gram-Animals-1283172897.jpg

Kebakaran kecil sering berlaku di Empangan Muda dan pencarian tokke merupakan ancaman baru kemusnahan pokok-pokok bernilai.

Tindakan kawalan.

Memandangkan ancaman kepada kepupusan spesis ikan tertentu, pihak perikanan bersama-sama persatuan nelayan yang agak aktif di sini bersatu membanteras kerakusan golongan tertentu. Jabatan Perikanan telah mengeluarkan papan tanda larangan bukan saja kesalahan menggunakan bahan letupan, tetapi juga penggunaan alatan atau bahan-bahan seperti pukat tiga lapis, pukat bersaiz kurang dari satu inci dan racun ( tuba ).

Bukan itu saja, larangan juga meliputi penangkapan ikan kelah merah, tengas dan kelisa yang memang sudah hampir kurang di empangan ini. Manakala persatuan nelayan pula diberi kuasa dan kebenaran untuk memeriksa peralatan –peralatan yang dibawa oleh para pelancong yang datang ke empangan ini.

Papan tanda larangan menggunakan peralatan-peralatan yang dilarang.

Menurut papan tanda larangan aktiviti penangkapan ikan yang disediakan, sesiapa yang ingin menangkap ikan di sini perlu ada lesen atau permit. Juga dinyatakan larangan menggunakan peralatan seperti ledakan bahan api, racun, peralatan elektrik, penggunaan besi tajam atau seumpamanya, pukat tunda dan pukat jerut.

Bagi kesalahan menangkap ikan tanpa lesen dan permit akan didenda RM 100.00. Manakala kesalahan menggunakan peralatan terlarang pula denda tidak kurang dari RM 500.00.

Terdapat juga zon larangan penangkapan ikan terutamanya di kawasan hulu empangan iaitu di utara empangan iaitu kawasan Sg. Teliang, Charok Siong, Sg. Che Siong dan di kawasan pintu empangan.

http://t1.gstatic.com/images?q=tbn:LSvZQ5SLHTR81M:https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhLA3h1RNeBB6smcZMW-Cd2z_j3BIHnuZhATM1Ll7A34mS5OG6J3HAEbxgv3TNvjFDQCruoJpLOYBZhcek8Uj97H5ZWLcvvQ-jtt0xks7aRQHH5Dpu3O4D4H3vX44K_vozgWCOxRHU55NUI/s320/jerantut-ikan%252Bkelah.jpghttp://t3.gstatic.com/images?q=tbn:g9O_u_EvIZLt1M:http://i.ytimg.com/vi/Ewwg4LlUXAM/0.jpg

Kempen menternak ikan kelah merah makin mendapat sambutan.

Sejak akhir-akhir ini, terdapat segelintir nelayan yang membuat tawaran kepada golongan tertentu, ganjaran RM10.00 akan diberikan kepada sesiapa yang membunuh seekor memerang. Langkah untuk memudahkan urusan tuntutan ganjaran adalah dengan cara membawa pulang tangan kanan memerang yang dibunuh sebagai bukti.

Situasi ini bermula apabila, kumpulan memerang yang sering memecahkan pukat para nelayan terutamanya ketika hendak memakan ikan yang terlekat pada jaring. Kesannya para nelayan bukan saja mendapat hasil ikan yang kurang, malah mereka juga terpaksa menanggung kerugian akibat pukat yang digunakan untuk mencari rezeki pecah dan tidak boleh digunakan lagi.

Sebagai langkah kawalan, pihak perikanan telah telah memberi amaran keras dan menyatakan tindakan-tindakan yang akan diambil jika berkara ini berterusan. Dari masa ke semasa, pihak jabatan juga membuat tinjauan di sekitar empangan untuk memastikan tidak ada mana-mana golongan yang melanggar peraturan-peraturan yang telah dinyatakan.

Memerang yang hidup bebas.

Manakala Jabatan Perhilitan dari masa ke semasa sentiasa membuat pemeriksaan di pengkalan dan juga kawasan sekitar empangan. Terdapat banyak papan-papan tanda larangan memburu dan menangkap hidupan liar yang terdapat di jalan-jalan raya dan sekitar empangan.

http://t3.gstatic.com/images?q=tbn:_gszLZoJ1PeC2M:https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjGerrUXCGnl8G1EEWC7jh1jtHb5AawOXqeaKWRWuJYFOCiLVoGf2BshvIxZxDWtchIMDZzI0gNUk_tRWCMGXlpae5NLTbL_5Lp1mdUdvZSAkW5UpbtX_f_luW6EhRQGhyphenhyphenxAJkpv-qQYWA/s1600/DSC01688.JPG

Penternakan rusa dapat menampung keperluan peminat daging rusa.

Peranan kementerian dan agensi-agensi tertentu dalam membantu melancarkan kempen-kempen pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar juga agak memberangsangkan seperti cendawan tumbuh diwaktu pagi. Kementerian Pelajaran telah memasukkan Kempen Menjaga Alam Sekitar kedalam sukatan pelajaran telah membuahkan hasil yang amat memberansangkan. Ramai jenerasi muda sekarang ini yang sudah tahu berhubung dengan alam sekitar dengan mengadakan perkhemahan dan melibatkan diri dalam kempen-kempen penanaman semula pokok-pokok. Keadaan ini diharapkan akan berterusan untuk memastikan generasi akan datang dapat terus menikmati apa yang kita nikmati sekarang ini.

http://t0.gstatic.com/images?q=tbn:Q_dg_n3bViUJ9M:http://img29.imageshack.us/img29/6428/cttanampokok.jpghttp://t0.gstatic.com/images?q=tbn:IHU4zWRgSQU03M:https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi_Lh81JlNgTR4wtgf5lsopCPqgF3pQ-cNok_PjG9NbtP_mhoWOycftFsZ0U6ALpgza5SQCvX4OYpVHAZYeGIJiV1raTp6iP6FJYuiJ9ehR-IwxDUOLLV_3qTPF6o1kCM8oE5jxTGDvTtI/s1600/P9170885.JPG

Antara Kempen Pemuliharaan Alam Sekitar yang dijalankan.

Penutup

Selaras dengan hasrat kerajaan, agar semua tempat-tempat eko-pelancongan perlu dijaga dan dipelihara, bukan untuk dinikmati generasi sekarang malah untuk generasi-generasi akan datang. Peranan ini bukan saja terletak kepada jabatan tertentu, malah juga kepada penduduk sekitar yang mencari rezeki dan juga kepada pelancong-pelancong yang datang untuk menikmati keindahan semulajadi. Lebih penting lagi, jika masing-masing yang terlibat dapat memainkan peranan masing-masing, akan memastikan kesinambungan ‘ penghuni-penghuni’ di empangan ini dan hasilnya akan terus dapat dilihat oleh generasi akan datang. Amat sedih sekali,jika generasi akan datang yang sudah tidak dapat melihat dari dekat bagaimana kehidupan sekumpulan memerang menyelam ke sana ke mari, ikan tengas dan kelah yang belayar di dasar sungai dalam suasana yang sungguh indah dan tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.

Pengalaman sehari semalam di Empangan Muda memberikan ketenangan, keinsafan dan mengagungkan kekuasaan Allah yang menjadikan alamnya dengan penuh kesempurnaan sehinggakan timbul kesedaran, empangan ini sesuai untuk semua jenis manusia. Bak perpatah, ‘ Tak tahu maka tak cinta’. Hanya mereka yang mempunyai kesedaran sahaja dapat menggambarkan betapa pentingnya sikap pemuliharaan dan pemeliharaan dan kesedaran ini perlu disemai kepada seluruh rakyat terutamanya jenerasi baru agar khazanah negara ini terus terpelihara selama-lamanya. Bagi pencinta alam sekitar, sekali melangkah kaki ke Empangan Muda akan melahirkan satu memori dan kenangan yang akan dilupakan buat selama-lamanya yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Hanya insan yang boleh menilai saja dapat merasakan apa yang telah dirasai.

BIBLIOGRAFI

Modul Bina Insan Guru, (2000), Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan

Malaysia.

http://images.google.com.my/images?hl=en&source=hp&q=empangan+muda&btnG=Search+Images&gbv=2&aq=f&oq=

http://images.google.com.my/images?hl=en&gbv=2&tbs=isch%3A1&sa=1&q=flora+dan+fauna+di+empangan+muda&aq=f&oq=&start=0

http://images.google.com.my/images?hl=en&gbv=2&tbs=isch%3A1&sa=1&q=hidupan+air+di+empangan+muda&aq=f&oq=&start=0

http://ainiyah.fotopages.com/?entry=642656

http://wikimapia.org/1068281/Empangan-Muda